Ahad, 14 November 2010

Kesimpulan

Pengajaran dan pembelajaran matematik hendaklah merupakan suatu pengalaman yang menyeronokkan dan mencabar bagi semua murid. Untuk tujuan ini, penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran, latihan yang berperingkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman dan minat murid perlu diambil kira. Perhatian juga perlu diberi kepada daya dan gaya pembelajaran yang berbeza di kalangan murid.

Program pemulihan perlu diberikan kepada murid-murid yang kurang menguasai kemahiran-kemahiran yang diajarkan. Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.

Program pengayaan juga perlu diberi penekanan kepada murid yang mempunyai kebolehan yang lebih daripada murid-murid lain. Murid ini hendaklah diberikan bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan  seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangkamasa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

Guru juga haruslah mempunyai kreativiti semasa menyampaikan isi pelajaran supaya murid tidak mengalami kesilapan konsep bagi tajuk yang diajarkan. Oleh itu, insan yang dinamakan guru haruslah memikul tanggungjawab ini kerana tanpa guru yang berdedikasi, murid tidak akan berjaya dan maju sebagaimana yang diharapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan